Alhamdulillah… saya berpegang teguh kepada Al-Quran dan As-Sunnah, dan mengamalkan prinsip ini dalam usaha saya menyebarkan kesedaran tentang ilmu pengetahuan Islam yang sahih berdasarkan pemahaman as-Salafus-Soleh (tiga generasi pertama dan terbaik daripada pengikut Nabi Muhammad ﷺ) melalui internet.
Saya sedar bahawa apa sahaja yang saya kongsikan tidak akan menyenangkan semua pihak. Bahkan, saya tahu bahawa sebahagian daripada mereka akan mencaci dan mengkritik saya, dan hal itu tidak mengapa bagi saya kerana saya tahu bahawa mustahil untuk menyenangkan hati semua orang. Nabi Muhammad ﷺ bersabda:
“Barang siapa mencari keredaan Allah walaupun dengan kemurkaan manusia, maka Allah akan mencukupkannya daripada manusia. Dan barang siapa mencari keredaan manusia dengan kemurkaan Allah, maka Allah akan membiarkannya bergantung kepada manusia.” [Jami’ at-Tirmidhi (2414)]
Empat imam mazhab yang paling berpengaruh di dunia, yang diikuti oleh majoriti umat Islam semuanya sepakat bahawa setiap orang wajib berpegang teguh kepada Sunnah yang sahih, merujuk kepadanya, dan meninggalkan setiap kenyataan atau pendapat yang bercanggah dengannya, tanpa mengira kepopularannya. Oleh itu, saya mengikuti bimbingan keempat-empat imam mazhab ini dan mematuhi perintah mereka untuk berpegang teguh kepada Sunnah yang sahih walaupun jika pandangan mereka bercanggah dengannya. Sesungguhnya, petunjuk ini memberi kesan besar kepada saya dan mendorong saya untuk menjauhi taklid buta (menurut Lane’s Lexicon, taklid bermaksud seseorang mengikuti kata-kata atau perbuatan orang lain dengan meyakini kebenarannya tanpa melihat dalil atau bukti). Maka saya memohon kepada Allah agar mengurniakan ganjaran yang besar kepada keempat-empat imam ini.
Adalah amat bermanfaat untuk disebutkan di sini petikan kata-kata keempat-empat imam mazhab, kerana saya berharap ia dapat mengingatkan orang yang bertaklid buta kepada imam-imam ini, bahkan bertaklid buta kepada mereka yang lebih rendah kedudukannya daripada imam-imam ini dan berpegang kepada pandangan mereka seolah-olah ia sempurna; tidak pernah salah. Petikan kata-kata ini diambil daripada kitab Syeikh Muhammad Nasiruddin al-Albani رحمه الله: “Sifatu Salat an-Nabi” (Sifat Solat Nabi).
(1) Imam as-Shafi‘i
i. “Tiada seorang pun melainkan dia terlepas pandang atau tidak mengetahui suatu Sunnah Nabi ﷺ; maka jika aku berkata atau berpendapat sesuatu yang bercanggah dengan sabda Rasulullah ﷺ, maka sabda Nabi ﷺ itulah yang aku terima dan sokong.”
ii. “Kaum Muslimin telah sepakat bahawa apabila seseorang mengetahui Sunnah daripada Nabi ﷺ, maka haram baginya meninggalkannya kerana mengutamakan pendapat orang lain.”
iii. “Jika kamu dapati dalam kitabku sesuatu yang bercanggah dengan Sunnah Rasulullah ﷺ, maka ambillah Sunnah Rasulullah ﷺ dan tinggalkan kata-kataku.” Dalam riwayat lain: “…maka ikutilah Sunnah dan jangan hiraukan pandangan lain.”
iv. “Apabila hadis itu sahih, maka itulah mazhabku.”
v. “Kamu lebih mengetahui tentang hadis dan perawinya daripadaku; maka jika hadis itu sahih, beritahulah aku, sama ada dari Kufah, Basrah atau Syam, supaya aku mengambil pandangan berdasarkan hadis tersebut asalkan ia sahih.”
vi. “Setiap hadis yang dinilai sahih oleh para ulama hadis dan didapati bercanggah dengan apa yang telah aku katakan, maka dengan ini aku menyatakan bahawa aku meninggalkan pendapat tersebut semasa hidupku mahupun selepas matiku.”
vii. “Jika kamu dapati aku mengatakan sesuatu sedangkan telah disahihkan bahawa Nabi berkata sebaliknya, maka ketahuilah bahawa akalku telah hilang.”
viii. “Setiap yang aku katakan tetapi terdapat riwayat sahih daripada Nabi yang bertentangan dengannya, maka hadis Nabi ﷺ wajib diikuti dan janganlah kamu mengikutiku.”
ix. “Setiap hadis (sahih) Nabi ﷺ adalah pandanganku walaupun kamu tidak mendengarnya daripadaku.”
(2) Imam Ahmad ibn Hanbal
i. “Janganlah kamu bertaklid kepadaku, Malik, ash-Shafi‘i, al-Awza‘i atau ath-Thawri, tetapi ambillah (dalil) dari mana mereka mengambil (ilmu mereka).”
ii. “Jangan kamu bertaklid terhadap pendapat mengenai agama kamu daripada sesiapa pun di antara mereka. Ambillah apa yang diriwayatkan daripada Nabi ﷺ dan para sahabatnya. Adapun pendapat orang-orang selepas tabi‘in (generasi selepas para sahabat Nabi ﷺ), kamu mempunyai pilihan untuk ambil ataupun tinggalkan.”
iii. “Mengikuti (Sunnah) ialah seseorang mengikuti segala yang diriwayatkan daripada Nabi ﷺ dan para sahabatnya. Adapun pendapat-pendapat mereka yang datang selepas tabi‘in, seseorang mempunyai pilihan (untuk ikut atau tidak).”
iv. “Pendapat-pendapat al-Awza‘i, Malik dan Abu Hanifah semuanya sama kuat pada pendapatku. Dalil yang sebenar hanyalah pada riwayat (yang sahih).”
v. “Sesiapa yang menolak hadis (sahih) Nabi ﷺ, maka dia berada di ambang kebinasaan.”
(3) Imam Abu Hanifah
i. “Apabila hadis itu sahih, maka itulah mazhabku.”
ii. “Ia adalah haram bagi sesiapa untuk menerima pendapatku tanpa mengetahui sumbernya dari mana kami mengambilnya.”
iii. “Haram menggunakan pendapatku untuk berfatwa tanpa mengetahui dalilku.”
iv. “Haram menggunakan pendapatku untuk berfatwa tanpa mengetahui dalilku. Kami hanyalah manusia; hari ini kami berpendapat sesuatu dan esok mungkin kami menariknya kembali.”
v. “Wahai Ya’qub (Abu Yusuf), celaka engkau! Jangan tulis semua yang engkau dengar daripadaku kerana aku mungkin berpegang kepada suatu pandangan hari ini tetapi meninggalkannya esok! Dan mungkin membuat kesimpulan tentang suatu pandangan esok tetapi meninggalkannya lusa.”
vi. “Jika aku berkata sesuatu yang bercanggah dengan Kitab Allah dan hadis (sahih) Nabi ﷺ, maka tinggalkanlah kata-kataku.”
(4) Imam Malik ibn Anas
i. “Aku hanyalah manusia; aku berkata yang benar dan aku juga salah. Siasatlah pendapatku; apa yang selaras dengan Al-Quran dan Sunnah, ambillah, dan apa yang tidak, tinggalkanlah.”
ii. “Pendapat manusia boleh diterima dan ditolak kecuali sabda Nabi ﷺ.”
iii. “Ibnu Wahb berkata: ‘Aku mendengar Malik menjawab satu soalan mengenai hukum membersihkan celah-celah jari kaki ketika berwuduk dengan berkata: ia tidak diwajibkan. Aku tetap bersama beliau sehingga orang ramai beredar, kemudian aku berkata kepadanya: Aku mendapati perbuatan itu adalah Sunnah. Beliau bertanya: Berdasarkan apa? Aku menjawab: al-Layth bin Sa’d, Ibn Lahi‘ah, dan ‘Amr bin al-Harith meriwayatkan kepadaku bahawa Yazid bin ‘Amr al-Ma‘afiri meriwayatkan daripada Abu ‘Abdur-Rahman al-Hubuli bahawa al-Mustawrid bin Shaddad al-Qurashi berkata: Aku melihat Rasulullah menggosok kawasan di antara jari-jari kakinya dengan jari kelingkingnya. Malik menjawab: Ini adalah hadis yang baik yang belum pernah aku dengar sebelum ini. Kemudian aku mendengar beliau mengarahkan orang ramai supaya membersihkan celah-celah jari kaki (ketika berwuduk) setiap kali mereka bertanya kepadanya tentang perkara itu.’”
BERPEGANG TEGUH KEPADA SUNNAH YANG SAHIH WALAUPUN PERLU MENINGGALKAN PANDANGAN EMPAT IMAM
Apabila seseorang berpegang teguh kepada Sunnah yang sahih, walaupun hal itu menyebabkan dia meninggalkan sebahagian pandangan empat imam, maka dia tidak dianggap menentang mazhab mereka. Bahkan, dia dianggap sebagai orang yang mengikuti manhaj dan jalan mereka serta berpegang kepada sesuatu ikatan yang tidak akan terputus. Maka adapun sesiapa yang meninggalkan Sunnah yang terbukti kesahihannya hanya kerana Sunnah tersebut bertentangan dengan pandangan mereka, maka sesungguhnya dia telah menderhakai keempat-empat imam dan menyalahi manhaj mereka sebagaimana yang dinyatakan dalam petikan kata-kata mereka sebelum ini.
Ibnu Rajab رحمه الله berkata: “Wajib ke atas sesiapa yang mengetahui dan memahami perintah Rasulullah ﷺ untuk menyampaikan perintah ini kepada seluruh kaum Muslimin, menasihati mereka serta memerintahkan mereka agar mengikuti perintah Nabi ﷺ, walaupun hal itu bermakna bertentangan dengan pandangan seorang ulama yang terkenal. Ini kerana perintah Rasulullah ﷺ lebih berhak untuk diagungkan dan dipatuhi daripada mana-mana pendapat yang bertentangan yang diucapkan oleh seseorang yang mempunyai kedudukan tinggi dan disanjungi oleh manusia. Oleh sebab itu, para sahabat dan generasi selepas mereka membantah setiap orang yang menentang Sunnah yang sahih, dan kadangkala bersikap keras dalam bantahan mereka; bukan kerana mereka membenci ulama yang bertentangan (dengan Sunnah yang sahih) itu, bahkan mereka mencintai dan memuliakannya; tetapi kerana kecintaan mereka kepada Rasulullah ﷺ lebih besar dan lebih lagi disayangi mereka, serta perintah Baginda ﷺ lebih tinggi daripada perintah sesiapa pun. Maka apabila perintah Rasulullah ﷺ bertentangan dengan perintah sesiapa pun, perintah Baginda ﷺ wajib didahulukan walaupun pandangan yang bertentangan itu dipegang oleh seorang ulama yang disanjungi dan dimuliakan manusia, yang dalam keadaan sedemikian, dimaafkan atas kesilapannya (kerana dia tersilap tanpa sengaja).”
ADAKAH IMAM MAHDI AKAN MENGIKUT SALAH SATU DARIPADA EMPAT IMAM MAZHAB ATAU MANA-MANA TAREKAT SUFI?
Apabila Imam Mahdi dan Nabi Isa عليه السلام muncul kelak, adakah mereka akan mengikut salah satu daripada empat mazhab, tarekat Sufi, ataupun berpegang secara langsung kepada Al-Quran dan As-Sunnah?
Umat Islam pada zaman itu akan mengikut salah satu daripada empat mazhab, tarekat sufi, ataupun mengikut Imam Mahdi?
Adakah nama puak baru yang akan dilabelkan untuk mereka yang berbai‘ah dengan Imam Mahdi, ataupun mereka digelarkan dengan nama ‘Muslim’?
Adakah keempat-empat mazhab dan tarekat-tarekat sufi masih relevan pada zaman itu, jika segala pendapat dan urusan berkaitan agama Islam diserahkan kepada Imam Mahdi, yang akan diikuti oleh Nabi Isa عليه السلام sendiri atas perintah Allah?
Dengan mempertimbangkan soalan-soalan di atas, adakah munasabah untuk kita menasihati seseorang yang jahil agar hanya mengikuti (bertaklid terhadap) mazhab atau tarekat sufi tertentu, ataupun sebaliknya berpegang terus kepada ajaran sahih Al-Quran dan As-Sunnah berdasarkan pemahaman as-Salafus-Soleh?
CARA YANG BETUL MEMPELAJARI AGAMA ISLAM
Berpegang terus kepada Al-Quran dan As-Sunnah tidak bermaksud kita tidak bergantung kepada orang lain apabila mempelajari agama. Apabila kita ingin bertanya tentang sesuatu perkara agama, carilah jawapan daripada mereka yang kita yakin berpegang kepada pemahaman as-Salafus-Soleh. Semestinya, kita perlu belajar daripada guru atau ulama yang berkelayakan, namun pastikan kita berusaha untuk mengesahkan sumber ilmu atau informasi yang kita pelajari bahawa ianya hanya diperolehi daripada Al-Quran dan As-Sunnah.
Untuk mempelajari Islam dan mengamalkannya, satu-satunya cara yang betul ialah dengan mengesahkan sumber ilmu atau informasi daripada orang yang kita pelajari untuk memastikan kesahihannya. Penyebaran bid‘ah berlaku apabila seorang Muslim mengikut kata-kata atau perbuatan seseorang dalam urusan agama dengan keyakinan penuh bahawa dia adalah benar tanpa mempertimbangkan dalil atau bukti yang hanya terdapat di dalam Al-Quran dan Sunnah Nabi Muhammad ﷺ. Nabi Muhammad ﷺ bersabda:
“Aku telah tinggalkan untuk kamu dua perkara dan kamu tidak akan sesat selagi kamu berpegang kepada keduanya: Kitab Allah (Al-Quran) dan Sunnah Nabi-Nya.” [Muwatta’ Malik]
LABELKAN DIRI ANDA SEBAGAI SEORANG ‘MUSLIM’
Orang yang berpegang teguh kepada mazhab atau tarekat sufi tertentu sering dilabelkan berdasarkan pegangan tersebut (contohnya Qadiriyyah, Naqshbandiyyah, Chishtiyyah, Tijaniyyah, dan lain-lain). Bahkan mereka yang tidak berpegang kepada mana-mana mazhab tertentu tetapi mengikuti ajaran Islam berdasarkan kefahaman as-Salafus-Soleh turut dilabel oleh sebahagian Muslim sebagai “Wahhabi” atau “Salafi”.
Saya tidak menamakan diri saya sebagai seorang “Salafi”. Saya pernah dilabelkan sedemikian, seolah-olah istilah “Salafi” itu merupakan nama sesuatu golongan. Saya tidak mengikuti mana-mana golongan. Saya menamakan diri saya sebagai seorang Muslim yang berpegang kepada pemahaman as-Salafus-Soleh. Allah berfirman:
“…Dialah (Allah) yang telah menamakan kamu sebagai Muslimin sejak dahulu dan juga dalam (Al-Quran) ini, supaya Rasul (Muhammad ﷺ) menjadi saksi ke atas kamu dan kamu pula menjadi saksi ke atas seluruh manusia…” [Al-Quran, Surah Al-Hajj, ayat 22:78]
Allah juga berfirman di tempat lain dalam Al-Quran:
“Dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah (kepada tauhid Islam), beramal soleh, dan berkata: ‘Sesungguhnya aku termasuk dalam kalangan Muslimin.’” [Al-Quran, Surah Fussilat, ayat 41:33]
Ketahuilah bahawa umat ini akan berpecah kepada tujuh puluh tiga golongan, maka berhati-hatilah agar tidak menyertai mana-mana golongan. Nabi Muhammad ﷺ telah memberi peringatan kepada kita:
“Orang-orang Yahudi akan berpecah kepada tujuh puluh satu golongan; satu daripadanya di dalam Syurga dan tujuh puluh di dalam neraka. Orang-orang Nasrani pula akan berpecah kepada tujuh puluh dua golongan; tujuh puluh satu di dalam neraka dan satu daripadanya di dalam Syurga. Demi Zat yang di tangan-Nya jiwa Muhammad, umatku akan berpecah kepada tujuh puluh tiga golongan; satu daripadanya di dalam Syurga dan tujuh puluh dua di dalam api neraka.” Ditanyakan, “Wahai Rasulullah, siapakah yang di dalam Syurga itu?” Baginda menjawab, “Al-Jamaa‘ah.” [Sunan Ibn Majah (3992)]
Ikutilah Sunnah Nabi Muhammad ﷺ dan taatilah Baginda. Janganlah ikuti amalan-amalan yang tidak mempunyai sandaran dalam Al-Quran dan As-Sunnah.
Semoga Allah membimbing kita untuk berpegang teguh kepada Al-Quran dan As-Sunnah, mengamalkan kedua-duanya sebanyak yang mungkin, dan menjauhi segala amalan yang tiada asasnya dalam ajaran Nabi Muhammad ﷺ. Semoga Dia melindungi kita daripada terpengaruh dengan Ahlul-Bid‘ah yang berleluasa di dalam umat kita. Semoga Allah menambahkan kita ilmu yang bermanfaat, mengurniakan kita keghairahan dalam mencarinya, serta menganugerahkan pemahaman yang sebenar terhadap ajaran murni Nabi Muhammad ﷺ. Aamiin.
[Diadaptasi daripada buku Sheikh Muhammad Nasiruddin al-Albani رحمه الله: “Sifatu Salat an-Nabi” (Sifat Solat Nabi)]
Leave a comment