Orang yang berpegang teguh kepada mazhab atau tarekat sufi tertentu sering dilabelkan berdasarkan pegangan tersebut (contohnya Tablighi, Deobandi, Qadiri, Naqshbandi, Chishti, Tijani, dan lain-lain). Bahkan mereka yang tidak berpegang kepada mana-mana mazhab tertentu tetapi mengikuti ajaran Islam berdasarkan kefahaman as-Salafus-Soleh turut dilabel oleh sebahagian Muslim sebagai “Wahhabi” atau “Salafi”.
Saya tidak menamakan diri saya sebagai seorang “Salafi”. Saya pernah dilabelkan sedemikian, seolah-olah istilah “Salafi” itu merupakan nama sesuatu golongan. Saya tidak mengikuti mana-mana golongan. Saya menamakan diri saya sebagai seorang Muslim yang berpegang kepada pemahaman as-Salafus-Soleh. Allah berfirman:
“…Dialah (Allah) yang telah menamakan kamu sebagai Muslimin sejak dahulu dan juga dalam (Al-Quran) ini, supaya Rasul (Muhammad ﷺ) menjadi saksi ke atas kamu dan kamu pula menjadi saksi ke atas seluruh manusia…” [Al-Quran, Surah Al-Hajj, ayat 22:78]
Allah juga berfirman di tempat lain dalam Al-Quran:
“Dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah (kepada tauhid Islam), beramal soleh, dan berkata: ‘Sesungguhnya aku termasuk dalam kalangan Muslimin.’” [Al-Quran, Surah Fussilat, ayat 41:33]
Adakah dalil daripada Al-Quran atau As-Sunnah untuk menamakan diri sendiri sebagai “Salafi”? Tiada bukan?
Adakah dalil daripada Al-Quran atau As-Sunnah untuk MENAMAKAN DIRI SENDIRI sebagai MUSLIM? Tepuk dada tanya selera…
Ketahuilah bahawa umat ini akan berpecah kepada tujuh puluh tiga golongan, maka berhati-hatilah agar tidak menyertai mana-mana golongan. Nabi Muhammad ﷺ telah memberi peringatan kepada kita:
“Orang-orang Yahudi akan berpecah kepada tujuh puluh satu golongan; satu daripadanya di dalam Syurga dan tujuh puluh di dalam neraka. Orang-orang Nasrani pula akan berpecah kepada tujuh puluh dua golongan; tujuh puluh satu di dalam neraka dan satu daripadanya di dalam Syurga. Demi Zat yang di tangan-Nya jiwa Muhammad, umatku akan berpecah kepada tujuh puluh tiga golongan; satu daripadanya di dalam Syurga dan tujuh puluh dua di dalam api neraka.” Ditanyakan, “Wahai Rasulullah, siapakah yang di dalam Syurga itu?” Baginda menjawab, “Al-Jamaa‘ah (mereka yang berpegang kepada apa yang Nabi ﷺ dan para sahabat Baginda berpegang kepadanya).” [Sunan Ibn Majah (3992)]
Ikutilah Sunnah Nabi Muhammad ﷺ dan taatilah Baginda. Janganlah ikuti amalan-amalan yang tidak mempunyai sandaran dalam Al-Quran dan As-Sunnah.
Semoga Allah membimbing kita untuk berpegang teguh kepada Al-Quran dan As-Sunnah, mengamalkan kedua-duanya sebanyak yang mungkin, dan menjauhi segala amalan yang tiada asasnya dalam ajaran Nabi Muhammad ﷺ. Semoga Dia melindungi kita daripada terpengaruh dengan Ahlul-Bid‘ah yang berleluasa di kalangan umat kita. Semoga Allah menambahkan kita ilmu yang bermanfaat, mengurniakan kita keghairahan dalam mencarinya, serta menganugerahkan pemahaman yang sebenar terhadap ajaran murni Nabi Muhammad ﷺ. Aamiin.
