‘Ruqyah’ ialah amalan merawat penyakit melalui ayat-ayat Al-Quran dan doa-doa yang diajarkan oleh Nabi Muhammad ﷺ. Ia adalah penawar bagi penyakit akibat ‘ain, sihir, gangguan jin dan penyakit-penyakit fizikal.
Cara terbaik untuk merawat diri anda daripada penyakit akibat ‘ain dan sihir adalah dengan membaca sendiri ayat-ayat Al-Quran dan doa-doa daripada As-Sunnah.
Bagi yang dirasuk jin, disyorkan Raqi (orang yang melakukan ruqyah) membaca jampi-jampi ke atas orang yang dirasuk itu. Raqi ini mestilah boleh membaca Al-Quran dengan baik dan memahami maksudnya, mempunyai akidah yang kukuh, beramal soleh dan berakhlak mulia untuk melakukan ruqyah. Dia mesti mempunyai niat yang baik; ingin memberi manfaat kepada saudara seislam yang diruqyahkan dan tidaklah hanya mementingkan wang atau bayaran.
Janganlah terpedaya dengan peruqyah yang mendakwa dirinya mengamalkan “Ruqyah Syar‘iyyah” tetapi menjual produk komersial yang dipromosikan secara palsu sebagai penawar sihir, gangguan jin atau penyakit akibat ‘ain, seperti air di dalam botol yang telah dibacakan ayat-ayat Al-Quran dan selawat untuk diminum dan dibuat mandi, serta air semburan bidara, gel mandian, dan seumpamanya. Sebenarnya, produk-produk yang mereka jual tidak sedikit pun dapat menolong menyembuhkan kita.
Kebanyakkan daripada mereka sebenarnya adalah ahli bid‘ah yang melabel diri mereka sebagai “Peruqyah Syar‘iyyah”. Mereka menggunakan ayat-ayat yang tidak disyariatkan daripada Al-Quran dan As-Sunnah ketika melakukan ruqyah dan mengenakan bayaran yang tinggi (tidak berpatutan) untuk perkhidmatan mereka. Mereka memperdayakan orang ramai dengan menjual produk ruqyah komersial yang tidak bersesuaian dengan As-Sunnah; menyesatkan mereka dengan cara meyakinkan mereka bahawa produk-produk inilah sumber penyembuhan mereka. Ketahuilah bahawa membeli produk-produk sebegini dan meyakininya sebagai asbab penyembuhan adalah termasuk dalam perbuatan syirik.
Peruqyah Syar’iyyah yang sebenar adalah mereka yang berpegang teguh dengan manhaj Salaf, hanya mengamalkan jampi-jampi yang berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah, dan mereka tidaklah menjual produk-produk yang bercanggah dengan As-Sunnah yang dilabelkan sebagai ruqyah.
Allah ialah Ash-Shafi; Yang Maha Menyembuhkan. Bertawakkal dan bersandarlah kepada Allah, serta ketahuilah bahawa melakukan ruqyah ke atas diri kita sendiri (jika kita mampu) dengan membaca ayat-ayat yang disyariatkan daripada Al-Quran dan As-Sunnah sudah memadai untuk penyembuhan kita. Kita juga boleh membaca ayat-ayat tersebut ke atas air, kemudian meminumnya dan menggunakan selebihnya untuk mandi.
Muat turun kaedah ruqyah dan ayat-ayat yang disyariatkan di bawah:
https://lifewithallah.com/wp-content/uploads/2022/07/Ruqyah-by-Life-With-Allah.pdf

Leave a Reply