ADAKAH KITA MENYEBARKAN BID‘AH TANPA MENYEDARINYA?

Sebagai seorang yang mengaku beriman kepada keesaan Allah, kita mestilah mendasarkan pemahaman kita tentang ajaran Islam daripada dalil-dalil yang terkandung di dalam Al-Quran dan As-Sunnah. Tidakkah munasabah bagi kita untuk mempercayai bahawa Allah telahpun memanifestasikan bukti-bukti bagi kewujudan-Nya dan kita sepatutnya berusaha mencarinya? Tidaklah sedikitpun Allah itu zalim untuk membiarkan hamba-Nya tercari-cari bukti tentang kewujudan-Nya ataupun tertanya-tanya tentang syariat-Nya yang diwahyukan kepada Rasul-Nya, Muhammad ﷺ. Ilmu tentang kewujudan dan syariat-Nya telahpun tersedia dalam bentuk kitab-kitab yang telahpun dipelihara berabad-abad lamanya untuk kita menelaah. Dengan adanya internet, ilmu tersebut sudahpun tersebar luas, menjadikannya mudah untuk kita memperolehi dan mengambil manfaat darinya.

MENGESAHKAN APA YANG DIPELAJARI UNTUK MENGELAKKAN TAKLID BUTA

Amatlah penting bagi kita untuk mengesahkan kesahihan sesuatu ilmu yang kita pelajari dengan mencari sumber rujukannya sebelum diamalkan; adakah ia boleh disandarkan kepada Nabi kita, Muhammad ﷺ? Setiap amalan mestilah didukung dengan satu dalil atau lebih daripada Al-Quran ataupun As-Sunnah untuk ia dianggapkan sebagai sesuatu ibadah yang boleh diterima di dalam batasan syariah. Dengan berpegangkan prinsip ini, kita dapat mengelakkan daripada tren taklid buta di kalangan umat Islam. Tren ini kebanyakannya diikuti oleh orang-orang yang jahil di mana mereka mempercayai bulat-bulat setiap informasi yang disampaikan kepada mereka, khususnya tentang ajaran Islam, lalu mereka menerapkannya sebagai suatu amalan.

Sebagai contoh, mereka tidak pernah menyelidiki asal usul konsep akidah yang telah mereka pelajari, ataupun sejarah sambutan Maulid, sumber 99 Nama dan 20 Sifat Allah. Masalah ini berpuncakan oleh kerana mereka tidak mempunyai inisiatif untuk menetapkan niat mencari kebenaran; iaitu berusaha untuk mengesahkan kesahihan sesuatu ilmu yang mereka pelajari; adakah ia boleh diterima oleh syariat Islam yang berlandaskan pemahaman as-Salafus-Soleh (tiga generasi yang pertama dan terbaik daripada pengikut Nabi Muhammad ﷺ). Sebaliknya, mereka membezakan antara yang hak dan yang batil tentang sesuatu perkara berkenaan ajaran Islam dengan menilai jumlah pengikutnya. Allah berfirman:

“Dan jika kamu menuruti kebanyakan orang di muka bumi ini, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Mereka tidak lain hanyalah mengikuti sangkaan belaka, dan mereka tidak lain hanyalah berdusta.” [Al-Quran, Surah Al-An‘am, 6:116]

TAKLID BUTA ANTARA SEBABNYA PENYEBARAN BID‘AH

Isu taklid buta sangatlah berkaitan rapat dengan amalan dan pemahaman bid‘ah di kalangan umat kita. Setiap bid‘ah dalam Islam adalah kesesatan. Nabi Muhammad ﷺ bersabda:

“Barangsiapa yang Allah memberinya petunjuk, maka tidak ada yang dapat menyesatkannya. Barangsiapa yang Dia sesatkan, maka tidak ada yang dapat memberikan petunjuk kepadanya. Sebenar-benar perkataan adalah Kitab Allah (Al-Quran), dan sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad, dan seburuk-buruk perkara adalah hal-hal yang baru, setiap hal yang baru adalah bid‘ah, dan setiap bid‘ah adalah kesesatan, dan setiap kesesatan adalah di dalam api neraka.” [Sunan an-Nasa’i (1578)]

Daripada hadis ini, kita dapat mempelajari tiga perkara seperti berikut:

(1) Petunjuk Hidayah Hakikatnya Hanya Milik Allah

Petunjuk hidayah hanya boleh dikurniakan oleh Allah kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Dia tidaklah sedikitpun zalim dengan memilih kasih apabila Dia ingin mengurniakan nikmat-Nya yang teragung, iaitu iman, kepada hamba-hamba ciptaan-Nya. Allah menawarkan peluang sama rata bagi setiap hamba-Nya untuk memperolehi ganjaran Syurga-Nya dengan memberi mereka kebebasan untuk memilih antara yang hak ataupun yang batil. Allah adalah Ar-Rahman, iaitu Maha Pengasih kepada seluruh hamba-Nya tanpa mengira latar belakang mereka, dan Dia adalah Ar-Rahim, iaitu Maha Penyayang; melimpahkan rahmat-Nya khas untuk hamba-hamba-Nya yang layak menurut kebijaksanaan-Nya.

(2) Berpegang Kuat kepada Al-Quran dan As-Sunnah dengan Pemahaman as-Salafus-Soleh

Hanya ada satu jalan dalam memahami dan mengamalkan Islam, dan setiap Muslim diperintahkan untuk mengikutinya; iaitu jalan as-Salafus-Soleh. Ia bukanlah satu aliran sebagaimana sebahagian daripada umat kita melabelkan “Salafi” atau “Wahhabi”, tetapi ia adalah manhaj atau doktrin yang membentuk pemahaman dan amalan kita, selaras dengan manhaj Nabi ﷺ, para sahabatnya, serta dua generasi selepas mereka. Nabi Muhammad ﷺ bersabda:

“Sebaik-baik orang ialah mereka yang hidup pada generasiku, kemudian orang-orang yang datang selepas mereka, kemudian orang-orang yang datang selepas itu. Kemudian akan muncul suatu kaum yang memberi kesaksian sebelum diminta bersumpah, dan mereka bersumpah sebelum diminta memberi kesaksian.” [Sahih al-Bukhari (3651)]

“Sesungguhnya, dia di antara kamu yang panjang umurnya akan melihat kontroversi besar, maka hendaklah kamu berpegang kepada sunnahku dan sunnah Khulafa al-Mahdiyyeen ar-Rashideen. Berpeganglah kepadanya dengan teguh (secara literal: gigitlah dengan gigi geraham kamu). Berhati-hatilah terhadap perkara-perkara baru yang diada-adakan (dalam agama), kerana sesungguhnya setiap bid‘ah itu adalah kesesatan.” [Sunan Abi Dawud (4607)]

“Apa yang menimpa Bani Israil akan menimpa umatku, selangkah demi selangkah, sehingga jika ada seseorang yang melakukan hubungan dengan ibunya secara terang-terangan, nescaya akan ada seseorang daripada umatku yang melakukan hal itu. Sengguhnya, Bani Israil akan berpecah kepada tujuh puluh dua golongan, dan umatku akan berpecah kepada tujuh puluh tiga golongan. Kesemuanya di dalam api neraka kecuali satu golongan.” Dia ditanya: “Siapakah golongan itu, wahai Rasulullah?” Baginda ﷺmenjawab: “Apa yang aku dan para sahabatku berada di atasnya (pegangan Al-Quran dan As-Sunnah).” [Jami’ at-Tirmidhi (2641)]

Jika kita benar-benar mencintai Nabi Muhammad ﷺ, maka kita seharusnya mengikuti sunnahnya melalui membaca dan mempelajari Al-Quran serta hadis sebanyak yang mungkin. Kita tidak seharusnya mengamalkan perkara-perkara yang tidak mempunyai asas dalam Al-Quran dan As-Sunnah. Nabi Muhammad ﷺ bersabda:

“Aku tinggalkan untuk kamu dua perkara dan kamu tidak akan sesat selagimana kamu berpegang kuat dengannya; iaitu kitab Allah (Al-Quran) dan sunnah Nabi-Nya (As-Sunnah Nabi Muhammad ﷺ).” [Muwatta’ Malik (1661)]

(3) Bid‘ah Mendorong Pelakunya ke Api Neraka

Ajaran murni Nabi Muhammad ﷺ adalah sempurna dan lengkap seperti yang dinyatakan dalam Al-Quran, Surah Al-Ma’idah, ayat 5:3:

“Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepada kamu, dan Aku telah redhakan Islam itu menjadi agama untuk kamu. Maka sesiapa yang terpaksa kerana kelaparan (memakan benda-benda yang diharamkan) sedang ia tidak cenderung hendak melakukan dosa (maka bolehlah ia memakannya), kerana sesungguhnya Allah maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

Yang halal adalah apa yang dia benarkan dan yang haram adalah apa yang dia larang. Oleh itu, sebarang amalan dalam Islam yang tidak disokong oleh satu atau lebih dalil daripada Al-Quran dan As-Sunnah hendaklah dielakkan oleh seorang Muslim. Ini adalah tradisi as-Salafus-Soleh ketika mengamalkan ajaran Islam untuk mengelakkan dari terjerumus ke dalam perbuatan dan pemahaman bid‘ah. Nabi Muhammad ﷺ menerangkan kepada kita tentang bid‘ah melalui sabdanya:

“Barangsiapa yang mengada-adakan dalam urusan (agama) kami ini yang bukan berasal darinya, maka amalan tersebut tertolak.” [Sahih al-Bukhari (2697) dan Sahih Muslim (1718a)]

“Barangsiapa yang melakukan suatu amalan yang tidak kami perintahkan, maka ia tertolak.” [Sahih Muslim (1718b)]

“Barangsiapa yang mengada-adakan suatu bid‘ah atau melindungi pelaku bid‘ah, maka ia mendapat laknat Allah, para malaikat dan seluruh manusia, dan tidaklah diterima darinya amalan ibadahnya yang wajib dan juga yang sunat.” [Sahih al-Bukhari (3179)]

Kita perlulah mengetahui apakah maksud “bid‘ah” menurut ajaran Islam yang sebenar. Ia adalah: 

“Sebarang cara baru yang direka dalam agama yang bertujuan untuk beribadah atau mendekatkan diri kepada Allah. Ini bermaksud apa sahaja yang tidak disebut secara khusus dalam syariat, dan yang tidak disokong oleh satu dalil ataupun lebih daripada Al-Quran atau As-Sunnah, serta tidak dikenali pada zaman Nabi Muhammad ﷺ dan para sahabat.”

Adalah jelas bahawa maksud di atas mengenai perkara-perkara baru dalam agama, tidak termasuk ciptaan duniawi seperti kereta, iPhone dan sebagainya.

TIADA “BID‘AH HASANAH” DI DALAM AJARAN ISLAM YANG SEBENAR

Nabi Muhammad ﷺ tidak pernah membenarkan sebarang bentuk bid‘ah dalam urusan agama, dan Baginda juga tidak membuka ruang kepada apa yang disebut oleh sebahagian ulama sebagai “bid‘ah hasanah”, atas sebab-sebab berikut:

(A) Nabi ﷺ telah berulang kali menegaskan dalam khutbahnya pada setiap Jumaat bahawa:

“…sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad, dan seburuk-buruk perkara adalah hal-hal yang baru, setiap hal yang baru adalah bid‘ah, dan setiap bid‘ah adalah kesesatan, dan setiap kesesatan adalah di dalam api neraka.” [Sunan an-Nasa’i (1578)]

Jika setiap bid‘ah itu adalah kesesatan, bagaimana pula ada ulama yang mengatakan bahawa wujud “bid‘ah hasanah” dalam Islam? Demi Allah, ini merupakan percanggahan yang nyata terhadap sabda dan amaran Nabi ﷺ.

(B) Nabi ﷺ juga menegaskan bahawa sesiapa yang mengada-adakan sesuatu yang baru dalam agama ini, amalannya akan ditolak dan tidak diterima oleh Allah.

‘Aishah رضي الله عنها meriwayatkan bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:

“Sesiapa yang mengada-adakan sesuatu perkara baru dalam urusan (agama) kami ini yang bukan daripadanya, maka ia tertolak.” [Sahih al-Bukhari (2697)]

Bagaimana mungkin seseorang masih boleh mengatakan bahawa bid‘ah itu boleh diterima dan disyariatkan sebagai amalan?

(C) Apabila seseorang memperkenalkan sesuatu yang baru dalam syariat Islam dan menambahkan sesuatu yang bukan daripadanya, dia sebenarnya telah mengisyaratkan beberapa perkara yang amat buruk, antaranya:

  • Bahawa agama ini tidak sempurna, seolah-olah Allah tidak mencukupkan dan menyempurnakan nikmat-Nya (dengan menganugerahkan kita nikmat terbesar-Nya iaitu agama Islam), dan bahawa masih ada ruang untuk pembaikan. Ini jelas bercanggah dengan firman Allah dalam Kitab-Nya:

“Pada hari ini Aku telah sempurnakan untuk kamu agamamu, dan Aku telah mencukupkan nikmat-Ku ke atas kamu, serta Aku telah redhakan Islam itu menjadi agamamu.” [Al-Quran, Surah Al-Ma’idah, 5:3]

  • Bahawa agama ini kononnya belum sempurna sejak zaman Nabi ﷺ hinggalah datangnya si ahli bid‘ah yang menambah sesuatu kepadanya dengan ideanya sendiri.
  • Bahawa Nabi ﷺ seolah-olah “bersalah” dalam satu daripada dua perkara: (1) sama ada baginda tidak tahu tentang “bid‘ah hasanah” itu, atau (2) baginda mengetahuinya tetapi menyembunyikannya, lalu tidak menyampaikan kepada umatnya.
  • Bahawa Nabi ﷺ dan para sahabat telah terlepas daripada ganjaran “bid‘ah hasanah” ini, sehinggalah datangnya si ahli bid‘ah yang mendapat ganjaran itu untuk dirinya sendiri. Sedangkan dia sepatutnya berfikir: “Jika benar ia sesuatu yang baik, pasti Nabi ﷺ dan para sahabat telah melakukannya terlebih dahulu.”
  • Membuka pintu bid‘ah bermakna membuka ruang untuk mengubah agama, serta membuka jalan kepada hawa nafsu dan pendapat peribadi, kerana setiap ahli bid‘ah menganggap apa yang dia perkenalkan itu sesuatu yang baik. Maka, pendapat siapa yang perlu diikuti, dan siapa pula yang layak dijadikan ikutan?
  • Mengikuti bid‘ah membawa kepada lenyapnya amalan sunnah dan jalan as-Salafus-Soleh. Hakikat yang berlaku kini membuktikan bahawa apabila sesuatu bid‘ah diamalkan, amalan sunnah akan hilang; dan sebaliknya, apabila sunnah ditegakkan, bid‘ah akan lenyap.

Hujah-hujah di atas membuktikan bahawa tiada alasan langsung untuk memperkenalkan hal-hal baru di dalam ajaran murni Nabi Muhammad yang sudahpun lengkap dan sempurna, walaupun mereka itu dianggap baik bagi kebanyakan orang di kalangan umat kita.

CARA UNTUK MENGELAKKAN DIRI DARIPADA TERJEBAK DALAM BID‘AH

(1) Berdoa

Tanda utama seseorang telah mendapat petunjuk hidayah adalah dia didorong untuk berkomunikasi dengan Allah; berdoa kepada-Nya. Maka itu, peranan kita sebagai seorang hamba-Nya adalah untuk berkomunikasi dengan-Nya; istiqamah dalam berdoa kepada-Nya supaya ditunaikan segala hajat, terutama sekali meminta petunjuk dalam setiap aspek kehidupan kita. Doa adalah senjata yang sepatutnya kita gunakan untuk menghadapi musuh, setiap ujian ataupun permasalahan hidup harian. Nabi Muhammad ﷺ bersabda:

“Tidak ada sesuatu yang lebih mulia di sisi Allah Yang Maha Tinggi daripada doa.” [Jami‘ at-Tirmidzi (3370)]

“Doa itu adalah inti ibadah.” [Jami‘ at-Tirmidzi (3371)]

“Tiada sesuatu pun yang dapat menolak ketetapan (takdir) melainkan doa, dan tiada sesuatu pun yang dapat memanjangkan umur melainkan amalan kebaikan (kebajikan).” [Jami‘ at-Tirmidzi (2139)]

Allah berfirman dalam Kitab-Nya:

“Dan Tuhanmu berfirman: ‘Berdoalah kepada-Ku, [iaitu berimanlah kepada Ke-Esaan-Ku (Tauhid)] dan mintalah apa sahaja kepada-Ku, nescaya Aku akan perkenankan doa kamu.’” [Al-Quran, Surah Ghafir, 40:60]

Mohonlah kepada Allah dalam solat kita agar diberi petunjuk dan pertolongan dalam mencari solusi sesuatu masalah ataupun kebenaran tentang sesuatu ilmu yang kita ragui. Terdapat empat doa sunnah yang boleh kita amalkan:

(A)

.اللّٰهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْهُدَى وَالتُّقَى وَالْعَفَافَ وَالْغِنَى

ALLAAHUMMA INNEE AS-ALUKALHUDAA WATTUQAA WAL’AFAAFA WALGHINAA

Maksudnya:

Ya Allah, aku memohon kepada-Mu petunjuk, ketakwaan, kesucian daripada dosa, dan kecukupan diri. [Sahih Muslim (2721) dan Jami’ at-Tirmidhi (3489)]

(B)

.اَللّٰهُمَّ اهْدِنِيْ وَسَدِّدْنِيْ، اَللّٰهُمَّ إِنِّيْ أَسْأَلُكَ الْهُدَىٰ وَالسَّدَادَ

ALLAAHUMMAHDINEE WASADDIDNEE, ALLAAHUMMA INNEE AS-ALUKAL HUDAA WASSADAAD

Maksudnya:

Ya Allah, berikanlah aku petunjuk dan kurniakanlah aku kelurusan and ketepatan (dari segi pemahaman dan amalan berkenaan dengan agama). Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu petunjuk dan As-Sadaad (kelurusan dan ketepatan). [Sahih Muslim (2725)]

(C)

.اَللّٰهُمَّ أَلْهِمْنِيْ رُشْدِيْ، وَأَعِذْنِيْ مِنْ شَرِّ نَفْسِيْ

ALLAAHUMMA ALHIMNEE RUSHDEE, WA-A‘IDZNEE MIN SHARRI NAFSEE

Maksudnya:

Ya Allah, ilhamkanlah kepadaku Rushdee (pemahamanku yang benar, ketepatanku dalam amalan serta pengurusanku yang baik dalam hal ehwal agama), dan lindungilah aku daripada kejahatan diriku sendiri. [Jami’ at-Tirmidhi (3483)]

(D) [Untuk dibaca dalam solat sebagai doa al-Istiftah (doa pembukaan) sebelum membaca Surah Al-Fatihah]

اللّٰهُمَّ رَبَّ جِبْرَائِيلَ وَمِيكَائِيلَ وَإِسْرَافِيلَ، فَاطِرَ السَّمَوَاتِ وَالأَرْضِ، عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ، اهْدِنِي لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ، إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ.‏

ALLAAHUMMA RABBA JIBRAA’EELA WA MEEKAA’EELA WA ISRAAFEELA, FAATIRAS SAMAAWAATI WAL-ARDHI, ‘AALIMAL GHAIBI WASHSHAHAADATI, ANTA TAHKUMU BAINA ‘IBAADIKA FEEMA KAANOO FEEHI YAKHTALIFOONA, IHDINEE LIMAKHTULIFA FEEHI MINAL HAQQI BI’IDZNIKA, INNAKA TAHDEE MAN TASHAA’U ILAA SIRAATIM MUSTAAQEEM

Maksudnya:

Ya Allah, Tuhan Jibrail, Mikail dan Israfil, Pencipta langit dan bumi, Yang Maha Mengetahui perkara ghaib dan nyata. Engkaulah yang memberi petunjuk di antara hamba-hamba-Mu dalam perkara yang mereka perselisihkan. Berikanlah aku petunjuk kepada kebenaran dalam apa sahaja perkara yang diperselisihkan dengan izin-Mu. Sesungguhnya, Engkau memberi petunjuk kepada siapa sahaja yang Engkau kehendaki ke jalan yang lurus. [Sahih Muslim (770)]

(2) Berjihad untuk Menuntut Ilmu yang Bermanfaat

Menuntut ilmu Al-Quran dan As-Sunnah serta menyampaikan apa yang telah kita pelajari daripada kedua-duanya adalah suatu kewajipan ke atas setiap daripada kita. Nabi Muhammad ﷺ bersabda:

“Menuntut ilmu adalah kewajipan ke atas setiap Muslim.” [Sunan Ibn Majah (224)]

“Sampaikanlah daripadaku walaupun satu ayat.” [Sahih al-Bukhari (3461)]

Menuntut ilmu perlu disertai dengan doa yang berterusan. Nabi Muhammad ﷺ sentiasa berdoa kepada Allah agar ditambahkan ilmu yang bermanfaat. Terdapat doa-doa daripada Al-Quran dan As-Sunnah yang boleh kita amalkan setiap hari seperti berikut:

(A)

.رَّبِّ زِدۡنِی عِلۡمًا

RABBI ZIDNEE ‘ILMAN

Maksudnya:

Tuhanku, tambahkanlah aku ilmu. [Al-Quran, Surah Taha, 20:114]

(B) (Untuk dibaca setiap hari selepas solat Fajar)

.اللّٰهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلًا مُتَقَبَّلًا

ALLAAHUMMA INNEE AS-ALUKA ‘ILMAN NAAFI‘AN, WARIZQAN THOYYIBAN, WA‘AMALAN MUTAQABBALAN

Maksudnya:

Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik, dan amalan yang diterima. [Sunan Ibn Majah (925)]

(C)

.اَللّٰهُمَّ انْفَعْنِيْ بِمَا عَلَّمْتَنِيْ، وَعَلِّمْنِيْ مَا يَنْفَعُنِيْ، وَزِدْنِيْ عِلْمًا

ALLAAHUMMA INFA’NEE BIMAA ‘ALLAMTANEE, WA‘ALLIMNEE MAA YANFA‘UNEE, WAZIDNEE ‘ILMAN

Maksudnya:

Ya Allah, berikanlah manfaat kepadaku dengan apa yang Engkau telah ajarkan, ajarkanlah aku apa yang akan memberi manfaat kepadaku, dan tambahkanlah aku ilmu. [Jami’ at-Tirmidhi (3599)]

Penawar kepada kejahilan ialah menuntut ilmu yang bermanfaat dan mengamalkannya. Setiap kali kita ragu terhadap sesuatu maklumat, kita mestilah menyemak sumbernya untuk memastikan ia selaras dengan ajaran Al-Quran dan As-Sunnah. Wajib untuk kita memperdalamkan kefahaman kita tentang sesuatu ilmu setiap kali ia diajarkan kepada kita; mengambil tahu sumber ataupun sejarahnya supaya kita dapat mengesahkan kesahihannya sebelum bertekad untuk mengamalkannya.

Ketahuilah bahawa kebenaran akan sentiasa mengatasi kebatilan.

(3) Berpegang Kuat kepada Al-Quran dan As-Sunnah dengan Pemahaman As-Salafus-Soleh

Hanya ada satu jalan dalam memahami dan mengamalkan Islam, dan setiap Muslim diperintahkan untuk mengikutinya; iaitu jalan as-Salafus-Soleh. Ia bukanlah satu golongan sebagaimana sebahagian daripada umat kita melabelkan “Salafi” atau “Wahhabi”, tetapi ia adalah manhaj atau doktrin yang membentuk pemahaman dan amalan kita, selaras dengan manhaj Nabi ﷺ, para sahabatnya, serta dua generasi selepas mereka. Nabi Muhammad ﷺ bersabda:

“Sebaik-baik orang ialah mereka yang hidup pada generasiku, kemudian orang-orang yang datang selepas mereka, kemudian orang-orang yang datang selepas itu. Kemudian akan muncul suatu kaum yang memberi kesaksian sebelum diminta bersumpah, dan mereka bersumpah sebelum diminta memberi kesaksian.” [Sahih al-Bukhari (3651)]

“Sesungguhnya, dia di antara kamu yang panjang umurnya akan melihat kontroversi besar, maka hendaklah kamu berpegang kepada sunnahku dan sunnah Khulafa al-Mahdiyyeen ar-Rashideen. Berpeganglah kepadanya dengan teguh (secara literal: gigitlah dengan gigi geraham kamu). Berhati-hatilah terhadap perkara-perkara baru yang diada-adakan (dalam agama), kerana sesungguhnya setiap bid‘ah itu adalah kesesatan.” [Sunan Abi Dawud (4607)]

“Apa yang menimpa Bani Israil akan menimpa umatku, selangkah demi selangkah, sehingga jika ada seseorang yang melakukan hubungan dengan ibunya secara terang-terangan, nescaya akan ada seseorang daripada umatku yang melakukan hal itu. Sesungguhnya, Bani Israil akan berpecah kepada tujuh puluh dua golongan, dan umatku akan berpecah kepada tujuh puluh tiga golongan. Kesemuanya di dalam api neraka kecuali satu golongan.” Dia ditanya: “Siapakah golongan itu, wahai Rasulullah?” Baginda ﷺmenjawab: “Apa yang aku dan para sahabatku berada di atasnya (pegangan Al-Quran dan As-Sunnah).” [Jami’ at-Tirmidhi (2641)]

Jika kita benar-benar mencintai Nabi Muhammad ﷺ, maka kita seharusnya mengikuti sunnahnya dengan membaca dan mempelajari Al-Quran serta hadis sebanyak yang mungkin. Kita tidak harus mengamalkan perkara-perkara yang tidak mempunyai asas dalam Al-Quran dan As-Sunnah. Nabi Muhammad ﷺ bersabda:

“Aku tinggalkan untuk kamu dua perkara dan kamu tidak akan sesat selagimana kamu berpegang dengannya; iaitu Kitab Allah (Al-Quran) dan sunnah Nabi-Nya (As-Sunnah Nabi Muhammad ﷺ).” [Muwatta’ Malik]

Semoga Allah membimbing kita untuk berpegang teguh kepada Al-Quran dan As-Sunnah, mengamalkan kedua-duanya sebanyak yang mungkin, dan menjauhi segala amalan yang tiada asasnya dalam ajaran Nabi Muhammad ﷺ. Semoga Dia melindungi kita daripada terpengaruh dengan Ahlul-Bid‘ah yang berleluasa di kalangan umat kita. Semoga Allah menambahkan kita ilmu yang bermanfaat, mengurniakan kita keghairahan dalam mencarinya, serta menganugerahkan pemahaman yang sebenar terhadap ajaran murni Nabi Muhammad ﷺ. Aamiin.

Leave a Reply

Subscribe to my site


Categories


Posts

Translate »

Discover more from Understand Islam The Way Of The Salaf

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading