Adalah wajib bagi kita untuk membaca surah pertama dalam Al-Quran dalam solat lima waktu kita, yang berjumlah sebanyak tujuh belas kali bacaan surah tersebut setiap hari. Jumlah ini boleh bertambah dengan pelaksanaan solat-solat sunat tambahan.
Dengan membaca surah Al-Fatihah dalam solat kita setiap hari, ini bermakna kita tidak henti-henti memohon kepada Allah agar membimbing kita ke jalan yang lurus. Jalan yang lurus ini adalah jalan orang-orang yang dikurniakan nikmat oleh Allah; iaitu para nabi, siddiqin (pengikut nabi-nabi yang mula-mula beriman kepada mereka), para syuhada dan orang-orang yang soleh, sebagaimana firman Allah dalam Kitab-Nya:
“Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul (Muhammad ﷺ), maka mereka akan (ditempatkan di syurga) bersama-sama orang-orang yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka, iaitu nabi-nabi, dan orang-orang siddiqin, dan orang-orang yang syahid, serta orang-orang yang soleh. Dan amatlah eloknya mereka itu menjadi teman rakan (kepada orang-orang yang taat).” [Al-Quran, Surah An-Nisa’, ayat 4:69]
Kita juga sebenarnya memohon kepada Allah untuk melimpahkan nikmat-Nya kepada kita dengan membaca surah ini dalam solat kita. Ayat ketujuh dalam surah ini merujuk as-Siratul-Mustaqim sebagai jalan orang-orang yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah. Di dalam ayat ini, kata kerja yang Allah gunakan untuk menerangkan pemberian nikmat-Nya ialah an’amta (أنعمت) yang bermaksud: ‘Engkau telah memberikan nikmat-Mu’. An’amta berasal daripada akar kata nun/‘ain/mim (ن/ع/م) yang jika mengikut konteks ayat, bermaksud seperti berikut:
(1) Untuk memihak, mengutamakan dan memilih seseorang.
(2) Untuk mengurniakan sesuatu benda, faedah atau keberkatan sebagai nikmat.
(3) Untuk mengurniakan kepada seseorang kehidupan yang menyenangkan, baik dan mudah.
(4) Untuk berkembang atau bertumbuh dengan sukses.
Berdasarkan maksud-maksud di atas, ayat ketujuh surah Al-Fatihah mengajar kita bahawa kita sebenarnya memohon kepada Allah empat perkara yang berikut:
(1) Untuk memihak atau mengutamakan kita sebagai hamba pilihan-Nya.
Ketika Iblis, ketua syaitan, berjanji kepada Allah bahawa dia akan menyesatkan sebanyak mungkin anak-anak Adam, dia membuat pengecualian dengan berkata:
“Kecuali hamba-hamba-Mu yang terpilih, (dibimbing) di antara mereka. Allah menjawab: “Ini adalah jalan yang lurus kepada-Ku. Sesungguhnya kamu tidak mempunyai kuasa atas hamba-hamba-Ku, kecuali orang-orang yang mengikuti kamu dari golongan Ghawin (orang-orang yang sesat, penjahat, musyrik, penjahat dan lain-lain).” [Al-Quran, Surah Al-Hijr, ayat 15:40-42]
(2) Untuk mengurniakan kepada kita petunjuk (hidayah), keikhlasan dan ketaatan.
Dikatakan dalam kitab Tafsir Ibn Kathir tentang tafsiran ayat ketujuh dalam surah Al-Fatihah ini, bahawa as-Siratul-Mustaqim ialah jalan orang-orang yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah, iaitu orang-orang yang mendapat petunjuk, keikhlasan dan ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya.
Petunjuk (Hidayah)
Mengenai petunjuk, Allah berfirman dalam Al-Quran, Surah Muhammad, ayat 47:17:
“Dan orang-orang yang menerima dan mengikuti petunjuk, niscaya Dia akan menambahkan petunjuk kepada mereka dan memberi ketakwaan mereka (sifat takut kepada Allah dan menjauhi segala dosa dan kejahatan yang dilarang-Nya dan sangat mencintai Allah dan mengerjakan segala macam amalan yang baik).”
Ini bererti apabila Allah memberikan petunjuk-Nya kepada seorang hamba, ketakwaan akan ditanamkan dalam dirinya. Nikmat-nikmat kurniaan-Nya seperti bertambahnya iman, cinta kepada Allah, perasaan syukur, zikir kepada Allah setiap masa, ma’rifah (kesedaran yang mendalam dan pengetahuan tentang Allah), ilmu tentang ajaran Islam yang sebenar, hikmah (kebijaksanaan), furqan (penentu antara yang benar dan yang salah), tawakal kepada Allah dan kesabaran akan berkembang secara bertahap-tahap dalam seseorang apabila ia memohon petunjuk daripada Allah.
Keikhlasan
Adapun keikhlasan, ia mendorong kaum Muslimin untuk memastikan bahawa setiap amalan mereka selari dengan niat, dilaksanakan semata-mata kerana Allah, serta terpelihara daripada riyak dan kemunafikan. Nabi Muhammad ﷺ bersabda:
“Sesungguhnya, Allah tidak melihat pada jasad kamu dan tidak pula pada rupa kamu tetapi Dia melihat pada hati kamu.” [Sahih Muslim (2564b)]
Terdapat dua hadis lain mengenai pahala niat:
(A) “Pahala amalan bergantung pada niat dan setiap orang akan mendapat pahala sesuai dengan apa yang diniatkannya.” [Sahih al-Bukhari (1)]
(B) Nabi Muhammad ﷺ bersabda bahawa Allah Ta’ala berfirman: “Sesungguhnya, Allah telah menetapkan kebaikan dan keburukan. Kemudian Allah menjelaskannya: Barang siapa yang berniat melakukan suatu kebaikan namun tidak dilakukannya, Allah mencatatkan baginya satu kebaikan di sisi-Nya secara sempurna. Tetapi jika ia melakukannya, Allah mencatatkan baginya sepuluh kebaikan yang dilipatgandakan hingga tujuh ratus kali lipat, bahkan dilipatgandakan lebih lagi. Sebaliknya, barang siapa yang berniat melakukan keburukan, kemudian ia tidak melakukannya, Allah mencatatkan baginya satu kebaikan di sisi-Nya secara sempurna. Tetapi jika ia melakukan keburukan tersebut, Allah hanya mencatatkan baginya satu keburukan sahaja.” [Sahih al-Bukhari (6491) dan Sahih Muslim (131a)]
Oleh itu, adalah amat penting untuk kita memohon kepada Allah keikhlasan dalam menunaikan segala ibadah kepada-Nya.
Ketaatan
Selain itu, kita memohon kepada Allah rasa ketaatan untuk mematuhi dan tunduk kepada perintah-Nya. Perasaan cinta yang kuat kepada Allah; itulah yang mendorong seseorang untuk mentaati-Nya dan dengan itu menimbulkan kerinduan untuk bertemu dengan-Nya dan mendapat kenikmatan melihat Wajah-Nya. Allah berfirman dalam Kitab-Nya:
“Katakanlah (wahai Muhammad ﷺ): ‘Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah maka ikutilah aku (yakni menerima ketauhidan Islam, ikuti ajaran Al-Quran dan As-Sunnah), Allah akan mencintai kamu dan mengampuni dosa-dosa kamu. Dan Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang.’ Katakanlah (wahai Muhammad ﷺ): ‘Taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya. Oleh itu, jika kamu berpaling (menderhaka), maka sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang kafir.’” [Al-Quran, Surah Ali ‘Imran, ayat 3:31-32]
Semua perkara di atas (no. 1 & 2) adalah faktor-faktor penentu seseorang hamba Allah untuk memasuki Jannah-Nya (Syurga).
(3) Untuk mengurniakan kepada kita kehidupan yang menyenangkan, baik dan mudah.
Allah berfirman:
“Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih baik dari apa yang mereka telah kerjakan.” [Al-Quran, Surah An-Nahl, ayat 16:97]
Dalam ayat ini, Allah berjanji bahawa Dia akan mengurniakan kepada orang-orang mukmin yang beramal soleh (sesuai dengan Kitab Allah dan Sunnah Nabi-Nya ﷺ) kehidupan yang baik di dunia dan Dia akan memberi balasan kepada mereka di akhirat kelak bersesuaian dengan sebaik-baik amalan mereka. Kehidupan yang baik seperti yang dijelaskan dalam Tafsir Ibn Kathir merangkumi perasaan tenang dalam semua aspek kehidupan, redha dengan Allah atas apa yang Dia telah kurniakan dari segi rezeki yang halal dan mencukupi serta kebahagiaan. Ia juga bermakna dapat menyembah-Nya dalam kehidupan ini untuk mentaati-Nya dan memperolehi kegembiraan dari amalan tersebut.
Bagi mereka yang hanya keinginannya ganjaran yang tidak kehabisan di akhirat, Allah telah menjanjikan kepada mereka kehidupan yang mudah di dunia, tidak kira apa jenis ujian dan kesusahan yang mereka lalui. Nabi Muhammad ﷺ bersabda:
“Barangsiapa yang menjadikan akhirat sebagai tujuannya, Allah menjadikan hatinya kaya, dan mengatur urusannya, dan dunia datang kepadanya tanpa dia cari. Dan barangsiapa yang menjadikan dunia sebagai tujuannya, maka Allah akan jadikan kemiskinan selalu membayang-bayangi di antara kedua matanya, dan mencerai-beraikan urusannya, dan dunia tidak akan datang kepadanya, melainkan apa yang telah ditetapkan untuknya.” [Jami’ at-Tirmidzi (2465), disahihkan oleh Syeikh al-Albani]
(4) Untuk mengembangkan atau menambahkan kita dari pemberian nikmat-Nya seperti iman, takwa, cinta kepada Allah, perasaan syukur, zikir kepada Allah setiap masa, ma’rifah, ajaran Islam yang sebenar, hikmah, furqan, tawakal kepada Allah, kesabaran dan lain-lain.
Tujuan solat bukan sahaja untuk mengingati Allah dan berdoa kepada-Nya tetapi juga untuk menzahirkan rasa kesyukuran kerana melimpahkan nikmat-Nya kepada kita. Nabi Muhammad ﷺ dikatakan berdiri semasa solat terlalu lama sehingga kulit kakinya merekah (iaitu kakinya bengkak). Isterinya ‘Aishah رضى الله عنها bertanya kepadanya:
“Mengapa kamu melakukan ini sedangkan dosamu yang lalu dan yang akan datang telah diampuni?” Dia berkata: “Apakah aku tidak suka menjadi hamba Allah yang bersyukur?” [Sahih al-Bukhari (4837)]
Allah telah berjanji akan menambahkan nikmat-Nya kepada kita jika kita menzahirkan rasa syukur kepada-Nya dengan mentaati perintahnya dan beramal soleh. Dia berfirman di dalam Kitab-Nya:
“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu memaklumkan: ‘Jika kamu bersyukur (dengan sentiasa mendirikan solat, bersedekah dan melakukan ibadat-ibadat yang lain), niscaya Aku akan menambahkan (nikmat-Ku) kepada kamu, tetapi jika kamu kufur, sesungguhnya azab-Ku sangat pedih.’” [Al-Quran, Surah Ibrahim, ayat 14:7]
Ringkasannya, apabila kita umat Islam berdoa memohon petunjuk ke as-Siratul-Mustaqim dalam solat kita setiap hari, kita sebenarnya meminta empat perkara yang telah dijelaskan di atas. Allah melimpahkan nikmat kurnia-Nya kepada sesiapa di antara hamba-hamba-Nya yang mencari kejayaan di dunia dan di akhirat melalui solat. Hanya dengan ‘melangkah’ di atas jalan lurus ini, kita akan sampai ke Jannah, destinasi terakhir kita, rumah kita yang sebenar.
Topik relevan:
Leave a Reply