Tiga jalan yang wujud dalam kehidupan dunia ini adalah seperti berikut:
(1) Jalan yang dikenali sebagai as-Sirat-al-Mustaqim (Jalan Lurus).
(2) Jalan orang-orang yang telah dimurkai Allah.
(3) Jalan orang-orang yang sesat.
Allah berfirman dalam Al-Quran; mengajar kita untuk memperolehi bimbingan ke jalan yang betul:
“Bimbinglah kami dalam perjalanan as-Sirat-al-Mustaqim (ini). Jalan orang-orang yang telah Engkau kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) mereka yang dimurkai, dan bukan pula jalan mereka yang sesat.” [Al-Quran, Surah Al-Fatihah, ayat 1:6-7]
Sirat ialah perkataan Arab yang bermaksud sesuatu jalan. Tiga jalan yang disebut dalam surah pertama Al-Quran, adalah jalan-jalan yang membawa kita ke destinasinya tersendiri di akhirat berdasarkan amalan kita; sama ada syurga atau neraka. Hanya satu jalan, as-Sirat-al-Mustaqim, menuju ke syurga. Dua jalan yang lain menuju ke neraka.
(1) as-Sirat-al-Mustaqim
Wajib bagi umat Islam untuk membaca surah pertama Al-Quran dalam solat lima waktu dan ini merupakan sebanyak tujuh belas kali bacaan setiap hari. Ia boleh menjadi lebih daripada itu jika tambahan solat sunat dikerjakan.
Dengan membaca surah Al-Fatihah dalam solat kita setiap hari, ia bermakna kita tidak berhenti-hentinya memohon kepada Allah agar membimbing kita ke jalan yang lurus. Jalan yang lurus ini adalah jalan orang-orang yang dikurniakan nikmat oleh Allah; iaitu para nabi, siddiqin (pengikut nabi-nabi yang mula-mula beriman kepada mereka), para syuhada dan orang-orang yang soleh, sebagaimana firman Allah dalam Kitab-Nya:
“Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul (Muhammad ﷺ), maka mereka akan (ditempatkan di syurga) bersama-sama orang-orang yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka, iaitu nabi-nabi, dan orang-orang siddiqin, dan orang-orang yang syahid, serta orang-orang yang soleh. Dan amatlah eloknya mereka itu menjadi teman rakan (kepada orang-orang yang taat).” [Al-Quran, Surah An-Nisa’, ayat 4:69]
Kita juga memohon kepada Allah untuk melimpahkan nikmat-Nya kepada kita dengan membaca surah ini dalam solat kita. Ayat ketujuh dari surah ini merujuk as-Sirat-al-Mustaqim sebagai jalan orang-orang yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah. Di dalam ayat ini, kata kerja yang Allah gunakan untuk menerangkan pemberian nikmat-Nya ialah an’amta (أنعمت) yang bermaksud: ‘Engkau telah memberikan nikmat-Mu’. An’amta berasal daripada akar kata nun/‘ain/mim (ن/ع/م) yang jika mengikut konteks ayat, bermaksud seperti berikut:
(1) Untuk memihak, mengutamakan dan memilih seseorang.
(2) Untuk mengurniakan sesuatu benda, faedah atau keberkatan sebagai nikmat.
(3) Untuk mengurniakan kepada seseorang kehidupan yang menyenangkan, baik dan mudah.
(4) Untuk berkembang atau bertumbuh dengan sukses.
Berdasarkan maksud-maksud di atas, ayat tersebut mengajar kita untuk memohon kepada Allah empat perkara yang berikut:
(1) Untuk memihak atau mengutamakan kita sebagai hamba pilihan-Nya.
Ketika Iblis, ketua syaitan, berjanji kepada Allah bahawa dia akan menyesatkan sebanyak mungkin anak-anak Adam, dia membuat pengecualian dengan berkata:
“Kecuali hamba-hamba-Mu yang terpilih, (dibimbing) di antara mereka. Allah menjawab: “Ini adalah jalan yang lurus kepada-Ku. Sesungguhnya kamu tidak mempunyai kuasa atas hamba-hamba-Ku, kecuali orang-orang yang mengikuti kamu dari golongan Ghawin (orang-orang yang sesat, penjahat, musyrik, penjahat dan lain-lain).” [Al-Quran, Surah Al-Hijr, ayat 15:40-42]
(2) Untuk mengurniakan kepada kita petunjuk (hidayah), keikhlasan dan ketaatan.
Dikatakan dalam kitab Tafsir Ibn Kathir tentang tafsiran ayat ketujuh dalam surah Al-Fatihah ini, bahawa as-Sirat-al-Mustaqim ialah jalan orang-orang yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah, iaitu orang-orang yang mendapat petunjuk, keikhlasan dan ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya.
Mengenai petunjuk, Allah berfirman dalam Al-Quran, Surah Muhammad, ayat 47:17:
“Dan orang-orang yang menerima dan mengikuti petunjuk, niscaya Dia akan menambahkan petunjuk kepada mereka dan memberi ketakwaan mereka (sifat takut kepada Allah dan menjauhi segala dosa dan kejahatan yang dilarang-Nya dan sangat mencintai Allah dan mengerjakan segala macam amalan yang baik).”
Ini bererti apabila Allah memberikan petunjuk kepada seorang hamba, ketakwaan akan ditanamkan dalam dirinya. Nikmat-nikmat kurniaan-Nya seperti bertambahnya iman, cinta kepada Allah, perasaan syukur, zikir kepada Allah setiap masa, ma’rifah (kesedaran yang mendalam dan pengetahuan tentang Allah), ilmu tentang ajaran Islam yang sebenar, hikmah (kebijaksanaan), furqan (penentu antara yang benar dan yang salah), tawakal kepada Allah dan kesabaran akan berkembang secara beransur-ansur dalam seseorang apabila ia memohon petunjuk daripada Allah.
Adapun keikhlasan, ia mendorong umat Islam untuk mengkhususkan perbuatan mereka dengan niat semata-mata untuk Allah, mengelakkan perasaan riak dan kemunafikan. Nabi Muhammad ﷺ bersabda:
“Sesungguhnya, Allah tidak melihat pada jasad kamu dan tidak pula pada rupa kamu tetapi Dia melihat pada hati kamu.” [Sahih Muslim (2564b)]
Terdapat dua hadis lain mengenai pahala niat:
(A) “Pahala amalan bergantung pada niat dan setiap orang akan mendapat pahala sesuai dengan apa yang diniatkannya.” [Sahih al-Bukhari (1)]
(B) Nabi Muhammad ﷺ bersabda bahawa Allah Ta’ala berfirman: “Sesungguhnya, Allah telah menetapkan kebaikan dan keburukan. Kemudian Allah menjelaskannya: Barang siapa yang berniat melakukan suatu kebaikan namun tidak dilakukannya, Allah mencatatkan baginya satu kebaikan di sisi-Nya secara sempurna. Tetapi jika ia melakukannya, Allah mencatatkan baginya sepuluh kebaikan yang dilipatgandakan hingga tujuh ratus kali lipat, bahkan dilipatgandakan lebih lagi. Sebaliknya, barang siapa yang berniat melakukan keburukan, kemudian ia tidak melakukannya, Allah mencatatkan baginya satu kebaikan di sisi-Nya secara sempurna. Tetapi jika ia melakukan keburukan tersebut, Allah hanya mencatatkan baginya satu keburukan sahaja.” [Sahih al-Bukhari (6491) dan Sahih Muslim (131a)]
Oleh itu, adalah penting untuk kita memohon dari Allah keikhlasan dalam ibadah kita kepada-Nya.
Selain itu, kita memohon kepada Allah rasa ketaatan untuk mematuhi dan tunduk kepada perintah-Nya. Perasaan cinta yang kuat kepada Allah; itulah yang mendorong seseorang untuk mentaati-Nya dan dengan itu menimbulkan kerinduan untuk bertemu dengan-Nya dan mendapat kenikmatan melihat wajah-Nya. Allah berfirman dalam Kitab-Nya:
“Katakanlah (wahai Muhammad ﷺ): ‘Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah maka ikutilah aku (yakni menerima ketauhidan Islam, ikuti ajaran Al-Quran dan As-Sunnah), Allah akan mencintai kamu dan mengampuni dosa-dosa kamu. Dan Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang.’ Katakanlah (wahai Muhammad ﷺ): ‘Taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya. Oleh itu, jika kamu berpaling (menderhaka), maka sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang kafir.’” [Al-Quran, Surah Ali ‘Imran, ayat 3:31-32]
Semua perkara di atas adalah faktor-faktor penentu seseorang hamba Allah untuk memasuki Jannah-Nya (Syurga).
(3) Untuk mengurniakan kepada kita kehidupan yang menyenangkan, baik dan mudah.
Allah berfirman:
“Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih baik dari apa yang mereka telah kerjakan.” [Al-Quran, Surah An-Nahl, ayat 16:97]
Dalam ayat ini, Allah berjanji bahawa Dia akan memberikan kepada orang-orang mukmin yang beramal soleh (sesuai dengan Kitab Allah dan Sunnah Nabi-Nya ﷺ) kehidupan yang baik di dunia dan Dia akan memberi balasan kepada mereka dengan sebaik-baik amalan mereka di akhirat. Kehidupan yang baik seperti yang dijelaskan dalam Tafsir Ibn Kathir merangkumi perasaan tenang dalam semua aspek kehidupan, redha dengan Allah atas apa yang Dia telah berikan dari segi rezeki yang halal dan mencukupi serta kebahagiaan. Ia juga bermakna dapat menyembah-Nya dalam kehidupan ini dan bekerja untuk mentaati-Nya dan memperolehi kegembiraan dari kelakuan tersebut.
Bagi mereka yang hanya keinginannya ganjaran yang tidak kehabisan di akhirat, Allah telah menjanjikan kepada mereka kehidupan yang mudah di dunia, tidak kira apa jenis ujian dan kesusahan yang mereka lalui. Nabi Muhammad ﷺ bersabda:
“Barangsiapa yang menjadikan akhirat sebagai tujuannya, Allah menjadikan hatinya kaya, dan mengatur urusannya, dan dunia datang kepadanya tanpa dia cari. Dan barangsiapa yang menjadikan dunia sebagai tujuannya, maka Allah akan jadikan kemiskinan selalu membayang-bayangi di antara kedua matanya, dan mencerai-beraikan urusannya, dan dunia tidak akan datang kepadanya, melainkan apa yang telah ditetapkan untuknya.” [Jami’ at-Tirmidzi (2465), disahihkan oleh Syeikh al-Albani]
(4) Untuk mengembangkan atau menambahkan kita dari pemberian nikmat-Nya seperti iman, takwa, cinta kepada Allah, perasaan syukur, zikir kepada Allah setiap masa, ma’rifah, ajaran Islam yang sebenar, hikmah, furqan, tawakal kepada Allah, kesabaran dan lain-lain.
Tujuan solat bukan sahaja untuk mengingati Allah dan berdoa kepada-Nya tetapi juga untuk menzahirkan rasa kesyukuran kerana melimpahkan nikmat-Nya kepada kita. Nabi Muhammad ﷺ dikatakan berdiri semasa solat terlalu lama sehingga kulit kakinya merekah (iaitu kakinya bengkak-bengkak). Isterinya ‘Aishah رضى الله عنها (Semoga Allah meredhainya) bertanya kepadanya:
“Mengapa kamu melakukan ini sedangkan dosamu yang lalu dan yang akan datang telah diampuni?” Dia berkata: “Apakah aku tidak suka menjadi hamba Allah yang bersyukur?” [Sahih al-Bukhari (4837)]
Allah telah berjanji akan menambahkan nikmat-Nya kepada kita jika kita menzahirkan rasa syukur kepada-Nya dengan beramal soleh. Dia berfirman di dalam Kitab-Nya:
“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu memaklumkan: ‘Jika kamu bersyukur (dengan sentiasa mendirikan solat, bersedekah dan melakukan ibadat-ibadat yang lain), niscaya Aku akan menambahkan (nikmat-Ku) kepada kamu, tetapi jika kamu kufur, sesungguhnya azab-Ku sangat pedih.’” [Al-Quran, Surah Ibrahim, ayat 14:7]
Ringkasannya, apabila kita umat Islam berdoa memohon petunjuk ke as-Sirat-al-Mustaqim dalam solat kita setiap hari, kita secara tidak langsung meminta empat perkara yang telah dijelaskan di atas. Allah melimpahkan nikmat kurnia-Nya kepada sesiapa di antara hamba-hamba-Nya yang mencari kejayaan di dunia dan di akhirat melalui solat. Hanya dengan ‘melangkah’ di atas jalan lurus ini, kita akan sampai ke Jannah, destinasi terakhir kita, rumah kita yang sebenar.
(2) Jalan Orang-Orang Yang Mendapat Kemurkaan Allah
Mereka yang mengikuti jalan ini mendapat kemurkaan Allah. Tempat tuju mereka ialah neraka Jahannam dan mereka kekal di dalamnya. Allah berfirman:
“Dan barangsiapa yang ditimpa kemurkaan-Ku, maka sesungguhnya ia telah binasa.” [Al-Quran, Surah Taha, ayat 20:81]
Mereka itulah orang-orang yang menolak kebenaran kerana kedengkian dan kebencian serta kufur setelah dihadapkan kepada mereka bukti-bukti yang nyata. Allah berfirman:
“Sejahat-jahat perkara (yang mereka lakukan) ialah perbuatan mereka membeli kesenangan dirinya sendiri dengan mengingkari Al-Quran yang telah diturunkan oleh Allah, kerana dengki bahawa Allah menurunkan dari limpah kurnia-Nya (wahyu) kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya di antara hamba-hamba-Nya (iaitu Nabi Muhammad ﷺ). Dengan sebab itu, sudah sepatutnya mereka mendapat kemurkaan Allah bertalu-talu, dan orang-orang yang kafir itu akan beroleh azab sengsara yang menghinakan.” [Al-Quran, Surah Al-Baqarah, ayat 2:90]
Di dalam kitab Tafsir Ibn Kathir, disebutkan bahawa ini adalah jalan orang-orang Yahudi yang niatnya rosak, yang mengetahui bahawa Islam adalah benar, tetapi menyimpang daripadanya dan mengelak daripada melaksanakan kebenaran. Mereka mengakui kebenaran Islam tetapi mereka membencinya lalu mencampuradukkan kebenaran dengan kebatilan dan cuba menyembunyikannya daripada manusia. Ibn Kathir menyatakan bahawa orang Nasrani juga telah mendapat kemurkaan Allah dan telah disesatkan, tetapi kemurkaan itu lebih dikhususkan bagi orang Yahudi. Allah berfirman:
“Wahai Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani), mengapa kamu mengingkari ayat-ayat Allah, (ayat-ayat tentang Nabi Muhammad ﷺ yang terkandung di dalam Taurat dan Injil) sedangkan kamu (sendiri) menyaksikan (kebenaran ayat-ayat itu). Wahai Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani), mengapa kamu mencampuradukkan kebenaran dengan kebatilan dan menyembunyikan kebenaran sedangkan kamu mengetahuinya?” [Al-Quran, Surah Ali ‘Imran, ayat 3:70-71]
Mereka yang telah beriman kemudian memilih untuk kufur juga dikategorikan dalam jalan ini. Disebutkan dalam Kitab Allah:
“Sesiapa yang kufur kepada Allah sesudah ia beriman (maka baginya kemurkaan dan azab dari Allah), kecuali orang yang dipaksa (melakukan kufur) sedang hatinya tenang tenteram dengan iman; akan tetapi sesiapa yang terbuka hatinya menerima kufur maka atas mereka tertimpa kemurkaan dari Allah, dan mereka pula beroleh azab yang besar.” [Al-Quran, Surah An-Nahl, ayat 16:106]
Satu lagi kategori orang yang berada di jalan ini adalah orang-orang munafik yang dilaknat Allah kerana mereka mengambil orang-orang kafir, terutamanya orang-orang Yahudi, sebagai sekutu mereka. Mereka berpura-pura dan bersumpah menjadi orang Islam tetapi pada hakikatnya, mereka berbohong; mereka tidak menyebelahi orang Islam mahupun Yahudi. Orang-orang munafik menyembunyikan kekufuran mereka dengan menjadikan sumpah-sumpah mereka sebagai perisai. Ramai orang Islam tidak menyedari pendirian sebenar mereka dan maka itu tertipu dengan sumpah-sumpah mereka. Kerana itu, sebahagian manusia terhalang dari jalan Allah. Allah menerangkan tentang mereka di dalam Kitab-Nya:
“Tidakkah kamu (wahai Muhammad ﷺ) melihat orang-orang (munafik) yang menjadikan suatu kaum yang dimurkai Allah (yaitu orang-orang Yahudi) menjadi teman rapat mereka? Mereka itu bukan dari kamu (Muslim) dan bukan (pula) dari mereka (Yahudi), dan mereka bersumpah dengan dusta sedang mereka mengetahui. Sesungguhnya, Allah telah menyediakan azab yang berat bagi mereka. Mereka menjadikan sumpah-sumpah mereka sebagai perisai (untuk menyelamatkan diri dan harta benda mereka daripada dirampas atau dibunuh), maka dengan yang demikian dapatlah mereka menghalang (diri mereka dan orang lain) dari jalan Allah; oleh itu mereka beroleh azab seksa yang menghina.” [Al-Quran, Surah Mujadilah, ayat 58:14-16]
Kitab Tafsir Ibn Kathir menyatakan bahawa apabila orang-orang munafik itu bersendirian dengan syaitan-syaitan mereka dari kalangan Yahudi dan musyrikin, mereka mendakwa bahawa mereka hadir bersama orang-orang yang beriman hanya untuk mengejek mereka. Sifat mereka ini disebut dalam Kitab Allah:
“Dan apabila mereka berjumpa dengan orang-orang yang beriman, mereka berkata: ‘Kami telah beriman,’ tetapi apabila mereka bersendirian dengan syaitan-syaitan mereka, mereka berkata: ‘Sesungguhnya, kami bersama kamu; sesungguhnya, kami hanyalah berolok-olok.’” [Al-Quran, Surah Al-Baqarah, ayat 2:14]
Allah menyebut satu lagi sifat orang-orang munafik di dalam Kitab-Nya:
“Sesungguhnya orang-orang munafik itu melakukan tipu daya (terhadap ugama) Allah (dengan perbuatan pura-pura beriman sedang mereka kafir pada batinnya), dan Allah pula tetap membalas tipu daya mereka (dengan membiarkan mereka dalam keadaan munafik). Dan apabila mereka berdiri hendak sembahyang, mereka berdiri dengan malas. Mereka (hanya bertujuan) riak (memperlihatkan sembahyangnya) kepada manusia (supaya disangka bahawa mereka orang yang beriman), dan mereka pula tidak mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang) melainkan sedikit sekali (jarang-jarang).” [Al-Quran, Surah An-Nisa’, ayat 4:142]
Allah telah menyediakan bagi mereka api yang paling dalam di neraka; azab yang paling keras bagi mereka sebagaimana yang disebutkan dalam kitab-Nya:
“Sesungguhnya orang-orang munafik itu ditempatkan pada tingkatan yang terkebawah sekali dari (lapisan-lapisan dalam) neraka. Dan engkau tidak sekali-kali akan mendapat sesiapa pun yang boleh menolong mereka.” [Al-Quran, Surah An-Nisa’, ayat 4:145]
Kemurkaan Allah juga menimpa orang-orang munafik dan orang-orang musyrik yang berprasangka buruk terhadap Allah; mereka yang mempersoalkan kebijaksanaan Allah dalam keputusan-Nya dan menyangka bahawa Islam akan dihapuskan, dengan sangkaan bahawa Dia tidak akan menyokong agama-Nya atau menjadikan kalam-Nya tertinggi. Nasib buruk mereka dinyatakan dalam Al-Quran:
“Dan supaya Ia menyeksa orang-orang munafik; lelaki dan perempuan, dan orang-orang musyrik; lelaki dan perempuan, yang menyangka terhadap Allah dengan sangkaan yang buruk (bahawa Ia akan mengecewakan Rasul-Nya). Atas merekalah tertimpanya bala bencana yang dibawa oleh peredaran zaman; dan (selain itu) Allah murkai mereka dan melaknatkan mereka serta menyediakan untuk mereka neraka Jahannam; dan itulah seburuk-buruk tempat kembali.” [Al-Quran, Surah Al-Fath, ayat 48:6]
Kesimpulannya, mereka yang ‘melangkah’ di atas jalan ini setelah mengetahui bahawa Islam adalah satu-satunya agama yang benar, Allah tidak akan mengampuni mereka. Tempat mereka ialah neraka Jahannam dan mereka diseksa di dalamnya selama-lamanya. Tetapi ada pengecualian yang dinyatakan dalam Al-Quran:
“Kecuali orang-orang yang bertaubat, dan memperbaiki (amal buruk mereka) serta menerangkan (apa yang mereka sembunyikan); maka orang-orang itu, Aku terima taubat mereka, dan Akulah Yang Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.” [Al-Quran, Surah Al-Baqarah, ayat 2:160]
Adapun orang-orang munafik, untuk taubat mereka diterima, mereka harus berpegang teguh kepada Allah dan mensucikan iman mereka hanya untuk-Nya; sepertimana disebut dalam Kitab-Nya:
“Kecuali orang-orang yang bertaubat (dari perbuatan munafik itu) dan memperbaiki amalan mereka (yang salah), dan mereka pula berpegang teguh kepada (ugama) Allah, serta mengerjakan ugama mereka dengan ikhlas kerana Allah, maka mereka yang demikian itu ditempatkan bersama-sama orang-orang yang beriman (di dalam syurga); dan Allah akan memberikan orang-orang yang beriman itu pahala yang amat besar.” [Al-Quran, Surah An-Nisa’, ayat 4:146]
(3) Jalan Orang-Orang Yang Sesat
Menurut Ibn Kathir, ini adalah jalan orang-orang Kristian yang kehilangan ilmu pengetahuan yang benar, maka akibatnya, mereka tenggelam dalam kesesatan, tidak dapat mencari jalan yang betul. Orang-orang Kristian ingin mencari pengetahuan yang benar, tetapi tidak dapat memperolehinya kerana mereka tidak mencarinya daripada sumber yang betul.
Pendapat lain menyatakan bahawa selain orang Kristian, sesiapa yang terjerumus dalam kesesatan dan hanyut dari kebenaran kerana kejahilan juga termasuk dalam jalan ini. Mereka mengabaikan ayat-ayat Allah setelah mengenalinya. Ini bermaksud mengingkari dan menafikan bukti-bukti bahawa Islam adalah satu-satunya agama yang benar.
Mereka itulah orang-orang yang Allah kehendaki untuk disesatkan. Allah berfirman:
“Barangsiapa yang diberi petunjuk oleh Allah, maka dialah orang yang dibimbing sebetulnya (oleh Allah), tetapi barangsiapa yang disesatkan-Nya, niscaya kamu tidak akan mendapati baginya wali (pemimpin) yang dapat menunjukkannya (ke jalan yang benar).” [Al-Quran, Surah Al-Kahfi, ayat 18:17]
“Sesiapa yang disesatkan oleh Allah (kerana keingkarannya), maka tidak ada sesiapa pun yang akan dapat memberi petunjuk kepadanya; dan Allah membiarkan mereka meraba-raba (dengan bingung) dalam kesesatan mereka.” [Al-Quran, Surah Al-‘Araf, ayat 7:186]
Ayat-ayat ini memberi kesaksian bahawasanya Allah sahaja yang memberi petunjuk dan juga menyesatkan.
Satu lagi kategori orang yang mengikuti jalan ini ialah mereka yang mengada-adakan bid’ah (sesuatu kepercayaan atau amalan baru) di dalam ajaran Islam. Mereka menggelarkan diri mereka sebagai Muslim tetapi mereka mempunyai penyimpangan akidah dan amalan daripada ajaran Islam yang sebenar. Nabi Muhammad ﷺ memberi amaran kepada kita:
“Setiap bid’ah itu adalah kesesatan, dan setiap kesesatan akan masuk ke neraka.” [Sahih Muslim (867) dan Sunan an-Nasa’i (1578)]
Apa yang kita dapat ketahui tentang jalan ini, ia diikuti oleh orang-orang yang jahil dan rosak akidahnya; mempunyai kepercayaan yang tidak sepatutnya tentang tuhan mereka yang sebenar dan mengada-adakan amalan-amalan yang tidak berlandaskan dari sumber-sumber yang diwahyukan oleh Allah.
Sahut Seruan Allah
Setiap daripada kita dijemput ke Dar-us-Salam (kediaman yang aman sentosa) yang kekal di akhirat:
“Allah memanggil ke Dar-us-Salam (iaitu Syurga, dengan menerima agama Islam ketauhidan Allah dan dengan beramal soleh dan menjauhi syirik dan kejahatan) dan memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya ke jalan yang lurus.” [Al-Quran, Surah Yunus, ayat 10:25]
Malangnya, kebanyakan kita sibuk dengan peranti mudah alih (contohnya iPhone dan iPad) kita, ketagih dengan media sosial mengakibatkan kita terpesong daripada matlamat kita; terhalang daripada tanggungjawab sosial dan kekeluargaan dan juga keupayaan untuk menumpukan perhatian kita kepada Sang Pencipta kita, Allah.
Bagi mereka yang mencari kebenaran, sahutlah seruan Allah dengan memberi peluang kepada diri anda sendiri untuk membaca Al-Quran sepenuhnya dan merenung ayat-ayatnya. Barulah Dia akan memberi petunjuk kepada anda ke jalan yang lurus.
Semoga kita semua mendapat petunjuk ke as-Sirat-al-Mustaqim. Aamiin.
Leave a comment