Understand Islam The Way Of The Salaf

Sharing Islam based on the understanding of as-Salafus-Salih


BAGAIMANA UNTUK MEMASTIKAN ANDA ADALAH SALAH SEORANG PENGHUNI SYURGA JIKA ANDA MATI HARI INI? TAHUKAH ANDA ADA CARA UNTUK MENEMPAH TEMPAT ANDA DI SYURGA?

Apa yang telah berlaku pada masa lalu hanyalah untuk kita bermuhasabah dan mengambil iktibar daripadanya. Masa depan hanyalah untuk kita merancang, dengan berniat baik hanya kerana Allah, lantas mendapat ganjaran untuknya. Tetapi ketahuilah bahawa perancangan kita ada di Tangan Allah. Kita tidak tahu bila Malaikat Maut akan datang kepada kita. Oleh itu, sekaranglah waktu yang kita boleh usahakan dengan membuat sesuatu untuk berjaya di dunia ini. Kejayaan sebenar adalah apabila kita dapat sampai ke destinasi kita iaitu Darus-Salam, kediaman yang aman sentosa abadi; Syurga.

Ramai di antara kita sibuk dengan usaha masing-masing di dunia ini; tidak tenang, bimbang tentang masa depan kita, sama ada kita boleh berjaya atau tidak dalam hidup ini. Kita mengejarkan kelayakan tertinggi dalam pelajaran; mencari pekerjaan bergaji tinggi; bimbang sama ada kita dapat menyara keluarga kita dalam jangka masa panjang; mengharapkan kenaikan pangkat daripada bos kita; takut bahawa kita tidak dapat mengekalkan perniagaan kita dan lain-lain. Tetapi adakah kita mengambil berat tentang kejayaan sebenar di dunia ini dan berusaha kearahnya?

Seorang Muslim yang tidak mencari dan berusaha untuk mendalami ilmunya dalam ajaran Islam yang sebenar tidak akan tahu apa yang dijanjikan Allah untuk hamba-hamba-Nya yang beriman yang sentiasa menerokai ajaran murni Nabi Muhammad ﷺ, memahaminya dengan cara as-Salafus-Soleh. Nabi Muhammad ﷺ bersabda:

“Menuntut ilmu adalah kewajiban bagi setiap Muslim.” [Sunan Ibn Majah (224)]

Kita telah dijanjikan oleh Allah di dalam Al-Quran:

“Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh, sesungguhnya mereka beroleh syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; tiap-tiap kali mereka diberikan satu pemberian dari sejenis buah-buahan syurga itu, mereka berkata: ‘Inilah yang telah diberikan kepada kami dahulu,’ dan mereka diberikan rezeki itu yang sama rupanya (tetapi berlainan hakikatnya), dan disediakan untuk mereka dalam syurga itu pasangan-pasangan, isteri-isteri yang sentiasa bersih suci, sedang mereka pula kekal di dalamnya selama-lamanya.” [Al-Quran, Surah Al-Baqarah, ayat 2:25]

Sudah menjadi fitrah manusia lebih suka mendengar berita baik daripada berita buruk. Allah telah memerintahkan Nabi Muhammad ﷺ untuk menyampaikan kepada kita, umatnya, berita terbaik yang pernah ada. Allah berfirman dalam kitab-Nya:

“Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang beriman.” [Al-Quran, Surah As-Saff, ayat 61:13]

Orang-orang yang dimasukkan ke dalam syurga di akhirat nanti ialah mereka yang telah mencapai kejayaan yang terbesar di dunia. Ini adalah berita terbaik yang boleh kita perolehi di dunia ini; lebih baik daripada berita kenaikan pangkat kita, kehamilan isteri kita, memenangi cabutan bertuah dan lain-lain, tetapi kebanyakan kita mengabaikannya. Berita ini khusus untuk orang-orang yang beriman dengan keesaan Allah dan kerasulan Nabi Muhammad ﷺ. Nabi Muhammad ﷺ bersabda:

“Barangsiapa mengucapkan ‘LAA ILAAHA ILLALLAAH’ (tiada Tuhan selain Allah) dengan ikhlas, dia akan dimasukkan ke dalam syurga.” [Disahihkan oleh Syeikh al-Albani dalam Sahih al-Jami’ as-Saghir wa Ziyadatuh (6433)]

Dengan mengucapkan ‘LAA ILAAHA ILLALLAAH’ tidak menjamin keselamatan dari api neraka. Orang-orang mukmin yang dosanya lebih banyak daripada pahalanya, maka Allah akan mengazab mereka di neraka atau mengampuni mereka dan memasukkan mereka ke dalam syurga. Orang-orang mukmin yang diazab di neraka akhirnya akan masuk syurga kerana iman mereka kepada Allah. Mereka digelar sebagai ‘Al-Jahannamiyyin’ sebagaimana yang dinyatakan dalam sebuah hadis:

“Sesetengah manusia akan hangus dibakar api neraka sebagai seksaan atas dosa-dosa yang telah mereka lakukan, kemudian Allah memasukkan mereka ke dalam syurga dengan pemberian rahmat-Nya. Mereka ini akan dipanggil ‘Al-Jahannamiyyin’.” [Sahih al-Bukhari (7450)]

Mereka dikeluarkan dari neraka kerana iman mereka melebihi tahap minimum yang telah ditetapkan oleh Allah; iaitu sebesar biji sawi:

“Apabila ahli syurga telah masuk syurga, dan ahli neraka telah masuk neraka, Allah berfirman: ‘Keluarkan (dari neraka) sesiapa yang mempunyai iman sebesar biji sawi di dalam hatinya.’ Mereka akan keluar, dan pada waktu itu mereka akan terbakar dan menjadi seperti arang, kemudian mereka akan dibuang ke dalam sungai Al-Hayyaat (kehidupan) dan mereka akan tumbuh seperti benih yang tumbuh di tebing aliran air hujan.” Nabi ﷺ bersabda, “Tidakkah kamu melihat biji yang tumbuh itu keluar kuning dan berpintal?” [Sahih al-Bukhari (6560)]

Sebenarnya, sebagai orang Islam, kita tahu dengan pasti pada bila-bila masa sama ada kita berjaya atau tidak di akhirat tanpa mengira dosa kita; banyak atau sedikit, besar atau kecil. Mujurnya, dengan rahmat Allah, ada cara untuk menempah tempat kita di Syurga yang diajar oleh Nabi Muhammad ﷺ. Selain Al-Quran, beliau ﷺ telah meninggalkan kepada kita warisan yang agung; khususnya doa yang dinamakan sebagai ‘Sayyidul-Istighfar’ (Penghulu Istighfar). Dalam hadis yang sahih, Nabi Muhammad ﷺ mengajar kita:

“Cara memohon keampunan dari Allah yang paling baik ialah:

اَللّٰهُمَّ أَنْتَ رَبِّي، لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ، خَلَقْتَنِي وَأَنَا عَبْدُكَ، وَأَنَا عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْتُ، أَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْتُ، أَبُوءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَىَّ، وَأَبُوءُ لَكَ بِذَنْبِي فَاغْفِرْ لِي، فَإِنَّهُ لَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا أَنْتَ. ‏

ALLAAHUMMA ANTA RABBEE, LAA ILAAHA ILLAA ANTA, KHALAQTANEE WA ANA ‘ABDUKA, WA ANA ‘ALAA ‘AHDIKA WA WA’DIKA MASTA-THO’TU, A‘UU-DZU BIKA MIN SYARRI MAA SHANA’TU, ABOO-U LAKA BINI’MATIKA ‘ALAYYA, WA ABOO-U LAKA BI DZANBEE FAGHFIRLEE, FA INNAHOO LAA YAGHFIRUDZ DZUNOOBA ILLAA ANTA.

Maksudnya:
‘Ya Allah, Engkaulah Tuhanku, tiada Tuhan yang berhak disembah selain Engkau. Engkau telah menciptaku dan aku adalah hamba-Mu, dan aku berada di bawah perjanjian-Mu dan berjanji (untuk memenuhinya) dengan sepenuh kemampuanku. Aku berlindung kepada-Mu dari kejahatan yang aku lakukan. Aku mengakui nikmat-Mu kepadaku, dan aku mengakui dosa-dosaku maka ampunilah aku. Kerana tidak ada yang mengampuni dosa kecuali Engkau.’

Nabi Muhammad ﷺ menambah: “Sesiapa yang membacanya (doa di atas) pada siang hari dengan keyakinan yang teguh kepadanya, dan mati pada hari yang sama sebelum petang, dia termasuk ahli syurga. Dan jika seseorang membacanya di malam hari dengan keyakinan yang teguh kepadanya, dan mati sebelum pagi, dia termasuk ahli syurga.” [Sahih al-Bukhari (6306)]

Tidak hairanlah Nabi Muhammad ﷺ bersabda bahawa sesiapa yang mengucapkan doa ini dengan keyakinan yang teguh kepadanya akan masuk syurga. Ini adalah kerana sesiapa yang membacakannya dengan yakin adalah orang yang ikhlas bertaubat kepada Allah; dan taubat yang ikhlas menjaminkan syurga. Jika kita membiasakan membaca doa ini setiap hari, apabila kita mati, kita pasti akan dimasukkan ke dalam Syurga. Demikian kerana Nabi Muhammad ﷺ menjanjikan kepada kita; jika seseorang membacanya di siang dan malam dengan penuh keyakinan, dia akan masuk syurga. Membaca doa ini dengan kepercayaan yang teguh dan yakin memerlukan kita mengetahui maksudnya. Inilah sebabnya mengapa kita harus mempelajari makna doa ini dan merenungkannya, supaya kita dapat meningkatkan keyakinan kita dan mendapat ganjaran yang penuh.

Sayyidul-Istighfar adalah formula yang menjaminkan kejayaan di dunia yang diajar oleh Nabi Muhammad ﷺ. Apakah pencapaian yang ada di dunia ini yang lebih besar daripada dijanjikan kemasukan ke dalam syurga oleh Sang Pencipta kita, Allah? Inilah kejayaan sebenar yang patut kita umat Islam cari dan jadikan matlamat utama kita.

Semoga Allah menambahkan ilmu yang bermanfaat bagi kehidupan kita di dunia dan di akhirat serta menjadikan kita bersemangat dalam mencarinya. Semoga Allah mengurniakan kepada kita kefahaman sebenar tentang ajaran murni Nabi Muhammad ﷺ. Aamiin.

Leave a Reply

Subscribe to my site


Categories


Posts

Translate »

Discover more from Understand Islam The Way Of The Salaf

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading